Pakar Kolorektal Tumpu Rawatan Usus

Monday Oct 21st, 2019
By
H: Pakar kolorektal tumpu rawatan usus
- Bertanggungjawab beri rundingan, jalankan ujian, rawatan dan pembedahan.

Oleh Nor Azma Laila
norazma@bh.com.my
gambar emel

Kuala Lumpur: Kesihatan usus sering dipandang ringan oleh segelintir masyarakat tanpa menyedari bahawa masalah penghadaman mungkin boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius.
Bagi individu yang mempunyai masalah atau penyakit berkaitan usus, pakar yang biasanya dirujuk ialah pakar kolorektal atau pakar usus yang bertanggungjawab memberi rundingan, menjalankan ujian, membuat rawatan dan pembedahan.
Berkongsi mengenai bidang tugas sebagai pakar kolorektal, Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Pusat Perubatan Management dan Science University (MSU), Dr Mohd Zailani Mat Hassan, berkata pakar bedah kolorektal turut membuat tugasan pakar bedah am tapi kebiasaannya mereka akan lebih fokus kepada bidang pengkhususan masing-masing.
Beliau berkata, antara skop tugas pakar kolorektal adalah menjadi perunding, menjalankan ujian dan merawat masalah berkaitan usus, termasuk kanser kolorektal
“Pakar juga turut menjalankan ujian pemeriksaan bagi mengetahui masalah sebenar abdomen yang dinamakan gastrokopi (melihat keadaan usus kecil) dan kolonoskopi (melihat keadaan usus besar). Kedua-dua ujian ini dibuat menggunakan mesin endoskopi,” katanya kepada BH Varsiti, di sini, baru-baru ini.

Cabaran tugas

Dr Mohd Zailani yang memulakan kerjaya sebagai pakar bedah am pada 2000 menghabiskan masa selama 18 tahun menuntut ilmu bagi membolehkan beliau mendapat kelayakan digelar pakar kolorektal.
Mengulas mengenai cabaran bertugas sebagai pakar kolorektal, Dr Mohd Zailani berkata, kerjaya sebagai seorang pakar perubatan berdepan dengan waktu kerja yang tidak menentu malah jarang dapat meluangkan masa bersama keluarga.
“Oleh itu, bagi mereka yang berminat menceburi bidang perubatan dan menjadi doktor, sudah tentunya perkara paling utama yang perlu ada ialah mempunyai minat dan komitmen yang tinggi, selain memiliki sikap sabar, prihatin, tenang, ikhlas dan suka berbakti kepada masyarakat.
“Bidang ini dipandang mulia dari aspek membantu meningkatkan kesihatan masyarakat malah kerjaya ini memberi kepuasan yang besar apabila kita berjaya menjalankan pembedahan untuk menyelesaikan masalah pesakit dan melihat mereka sembuh di kemudian hari,” katanya.
Dr Mohd Zailani berkata, meskipun sudah menjadi doktor pakar, pembelajaran sendiri masih berterusan melalui pembacaan jurnal berkaitan bagi meningkatkan ilmu.
“Tabiat ini penting untuk diamalkan oleh doktor supaya sentiasa dilengkapi dengan ilmu dan perkembangan terkini selain perlu sentiasa menyertai pelbagai program, mesyuarat, persidangan berkaitan bidang pendidikan,” katanya.
Original article at: Varsiti, Berita Harian